Monday 10 June 2013

Mungkin relevan...

ENAKMEN 1 TAHUN 1988
ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988
Seksyen 6. Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---
(a) mengunjungi; atau
(b) mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan; atau
(c) dengan apa-cara lain pun menghubungi,
seorang berugama Islam bagi maksud mendedahkan orang berugama Islam itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.
(2) Seseorang yang melakukan kesalalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

on Friday, August 5, 2011 at 11:21pm

Apa anda benar-benar peduli tentang isu Murtad?


Pengalaman mengendalikan kes Murtad bukanlah kebanggan bagi seorang peguam yang beragama Islam. Malah dilema terbesar bagi seorang peguam dalam mengendalikan kes-kes seperti ini adalah isu apakah kita mempunyai undang-undang yang selengkapnya untuk menahan seseorang daripada murtad?Atau kita memilih untuk bersetuju bahawa kebebasan beragama adalah hak mutlak setiap individu sebagaimana kefahaman masing-masing dalam mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.
 
Saya tidak berhasrat untuk membincangkan isu hukum murtad secara tuntas mahupun memberikan reaksi terhadap kenyataan YB Menteri Agama berkaitan statistik orang yang telah murtad di seluruh Malaysia. Cukuplah catatan ini dibaca dan dipertimbangkan dengan penuh kepedulian secara holistik,bukan untuk menunding kesilapan dan kelemahan mana-mana institusi.
 
Seseorang yang berhasrat untuk murtad boleh mengemukakan permohonan bagi pengesahan statusnya samada seliau adalah seorang Islam ataupun tidak di Mahkamah Syariah. Ada beberapa kategori permohonan yang perlu ditanggapi dengan situasi yang berbeza kerana bukan semua permohonan yang dikemukakan adalah permohonan untuk keluar daripada Agama Islam (sila ambil perhatian ya Pak Menteri!).Ada di antara pemohon-pemohon ini asalnya memang seorang Islam, Muallaf atau memang bukan Islam dari asal.Ada juga yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya adalah Islam secara fitrah walaupun dibesarkan di dalam persekitaran keluarga yang bukan Islam. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan status pemohon-pemohon tersebut mengikut kategori yang dinyatakan dan saya tegaskan sekali lagi, bukan semua permohonan yang diluluskan adalah permohonan Murtad.

Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang ketara dalam prosoding kes seperti ini kerana setiap Mahkamah tidak mengamalkan prosedur yang sama. Contohnya di Pahang, kes murtad boleh dipohon secara ex-parte (sebelah pihak) sedangkan di negeri-negeri lain, ia mesti dimulakan dengan Saman dan Penyata Tuntutan.

Cukup setakat itu tentang prosedur, kerana ada aspek fundamental yang lebih penting yang gagal diuruskan oleh semua pihak! Ya, semua pihak..termasuk saya dan anda semua, juga institusi agama dan dakwah di Malaysia. Bagi permohonan untuk keluar Islam, pihak-pihak ini perlu melalui proses istitabah atau rundingcara aqidah dalam beberapa tempoh sehingga Mahakmah benar-benar yakin dan pasti akan komitmen pihak ini terhadap agama Islam. Bukannya mudah bagi Mahkamah untuk mengeluarkan sebuah perintah dengan menyatakan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Islam. Ia mengambil masa bertahun-tahun dan hanya akan disahkan selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Mufti yang mengendalikan proses istitabah tersebut. Oleh yang demikian, tanggapan bahawa Mahkamah syariah begitu mudah memurtadkan seseorang adalah tanggapan yang salah dan saya memilih untuk tidak bersetuju dengan kenyataan YB Menteri Agama yang menggunakan perkataan "meluluskan" permohonan murtad kerana ia mengundang salah tafsiran bagi masyarakat umum yang tidak tahu-menahu langsung prosedur berkaitan kes ini.

Bagi saya, pengalaman setahun jagung mengendalikan permohonan-permohonan sedemikian di Mahkamah Syariah telah benar-benar menduga profil saya yang menganggotai sebuah badan dakwah terbesar di Malaysia. Apa tidaknya, setelah mendalami prosedur, isu-isu, undang-undang, kelemahan dan kekuatan yang ada, nyata kelemahan dakwah kita sangat menyumbang kepada gejala ini. Ketepikan isu menyalahkan gerakan kristianisasi atau hinduisme, kerana nyata kita juga tidak menjalankan tugas sebagai daie dengan baik. Seawal mereka memeluk Islam, mereka hanya diberitahu tentang bila kad islam akan siap atau bila mereka boleh berkahwin tetapi tidak ditanam soal tauhid dan kepentingannya. Malah yang lebih meruntun dhamir saya adalah kerana kegagalan kita menjadi duta akhlaq Ar Rasul SAW!

Tugas dakwah semakin terhad kepada badan dan NGO dakwah sahaja sedangkan ia tanggungjawab asas bagi seorang Muslim. Komitmen tauhid yang longgar menyebabkan kita hampir tidak tahu apa sebenarnya tanggungjawab kita terhadap agama sendiri.Pengalaman bersama teman-teman terpelajar di negeri Selangor semasa sesi memurnikan prosedur Istitabah, Peraturan Muallaf dan menghadiri prosiding di Mahkamah, sudah cukup bagi saya menilai prestasi dakwah dan komitmen umat Islam terhadap isu ini.

Polemik ini akan berterusan,cukuplah dengan momokan yang mengerikan, hadirlah dalam realiti dengan penuh kesedaran.Isu ini memerlukan komitmen dan kepedulian!Lina joy hanya cebisan perjuangan yang ditinggalkan, rantaian masalah yang timbul selepas kes Lina Joy lebih banyak daripada apa yg kita raikan di Mahkamah Persekutuan!

on Wednesday, June 15, 2011

APA PERLU ANDA BUAT JIKA DITANGKAP POLIS?

Bahagian 1

1. Jangan panik.Tenang dan fahami hak anda sebagaimana jaminan Perlembagaan.
2. Jika polis yg menangkap tidak berpakaian seragam, pastikan dia menunjukkan kad kuasa.
3. Jika kad kuasa berwarna "merah" bermakna anggota itu digantung tugas dan tiada kuasa terhadap anda. Aaikan anggota itu.
4.Pastikan anda mencatat nama,nombor ID dan plat kereta polis-penting untuk didakwa di mahkamah.
5.Tangkapan "tidak sah" jika polis tidak memberitahu alasan tangkapan.
6.Semasa tangkapan,polis tidak berhak memukul atau  merampas barangan peribadi anda termasuk dompet, telefon bimbit dll kecuali apabila dibawa ke lokap.
7. Semasa ditangkap pastikan anda dibawa ke balai polis yang sama seperti disebut. Bantah jika dibawa ke tempat lain!
8.Semasa ditangkap anda berhak membuat panggilan telefon kepada KELUARGA,RAKAN ATAU PEGUAM-Maklumkan masa, tempat dan lokasi anda dibawa.
9.Tempoh siasatan terhad dalam tempoh 24 jam sahaja!
10. Jika lebih daripada 24 jam-polis akan bawa anda di hadapan Majistret-pastikan anda tahu nama dan pangkat polis yg menyoal anda.
11. Jika tidak tahu menjawab-gunaan hak anda untuk berdiam diri dengan berkata-SAYA MENGGUNAKAN HAK BERDIAM DIRI DI BAWAH SEKSYEN 112(2) ATAU SAYA MENGGUNAKAN HAK BERDIAM DIRI DAN AKAN MENJAWAB DI MAHKAMAH.
12.Jika diugut atau dipaksa memberikan kenyataan-anda berhak membuat laporan polis.
13. Jika dihadapkan ke Mahkamah anda disaran MENGAKU TIDAK BERSALAH DAN MOHON DIBICARAKAN.
14. Anda berhak dilepas dengan ikat jamin Mahkamah megikut Seksyen 29 Kanun Acara Jenayah dan boleh memohon mengurangkan ikat jamin dengan mengemukakan bilangan tanggungan anda.

on Friday, July 8, 2011

Bahagian 2

1. Jika anda dipanggil ke Balai Polis untuk memberikan keterangan, pastikan anda tidak hadir sendirian!Bawa bersama sekurang-kurangnya seorang rakan atau PEGUAM.
2. Buat Laporan Polis terlebih dahulu dengan menyatakan bahawa anda hadir ke balai polis bersama rakan anda untuk memberikan keterangan/membantu siasatan-pastikan anda menyatakan juga bahawa anda tidak mengalami sebarang masalah MENTAL@TEKANAN PERASAAN & BEBAS DARI HUTANG PIUTANG!
3.Pastikan anda membuat dua (2) salinan Laporan Polis tersebut dan berikan satu salinan laoran polis tersebut kepada rakan anda. Satu salinan lagi hendaklah dilipat dengan kemas dan disimpan di dalam poket anda.
4. Ketika rakan anda meninggalkan anda di balai tersebut, pastikan bahawa rakan anda adalah orang terakhir yang melihat anda DALAM KEADAAN MASIH HIDUP TANPA SEBARANG KECEDERAAN!
5. Pastikan anda fokus kepada soalan dan elak berbual kosong kerana ia adalah taktik untuk melekakan anda.
6.Jangan tunduk kepada tekanan dan soalan manipulasi- gunakan hak anda untuk  berdiam diri an dibicarakan di Mahkamah.

on Saturday, July 9, 2011

Warkah 1- Hayya Ramadhan al-kareem!!!

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia,

Ke hadapan Kekanda/ rakan / adinda HELWA yang dikasihi sekalian,

Ketika warkah ini melintas pandangan kalian pastinya saya adalah orang yang terakhir mengucapkan selamat menyambut ramadhan al-kareem. Masih belum terlewat juga rasanya untuk saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran kalian di Muktamar yang lepas dengan rasa cinta terhadap wadah dan rasa kesetiaan kepada risalah perjuangan dengan niat yang tulus untuk turut memberikan saham semaksimanya ke arah keberkesanan wadah dan keberhasilan risalah. Semoga Allah berkenan melimpahkan rahmah barakahnya ke atas setiap langkah perjuangan kita untuk terus li ‘i’ lai kalimati Llah.
Saya juga berharap agar spirit ramadhan al-mubarak ini akan terus dibugar dan menyemarakkan lagi semangat ukhuwwah kita. Begitu juga hendaknya dengan ibadah intensif kita di sepanjang Ramadhan ini – siyamana wa qiyamana wa ruku ‘ana wa sujudana wa takhasshu’ana wa tadarru’ana wa ta’abbudana- Moga kita benar-benar mendapat ganjaran sebagai orang yang berpuasa dan sekaligus melayakkan kita memenuhi harapan la’alakum tattaqun. Semoga Ramadhan dengan segala hikmah tarbawiyahnya akan menambah keupayan kita menggarap amal islami dengan jiwa yang bersih serta mendapat rahmat pahala seribu tahun di malam laylatul qadr yang tidak terungkap kenikmatannya.

Ukhtie HELWA yang dihormati sekalian,

Dalam suasana gawat dengan penularan virus H1N1 yang kian tenat , saya menyeru agar rakan-rakan turut menitikberatkan soal penjagaan dan kebersihan diri. Malah saya juga mengesyorkan agar rakan-rakan mengikuti perkembangan serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan penularan influenza yang cukup mara bahaya ini dari semasa ke semasa. Saya juga mendoakan agar Allah SWT menjauhkan diri kita daripada wabak serta bala’ ini agar tugas kita sebagai daie dan jurubicara ummat boleh diteruskan tanpa halangan merentasi sempadan dan zaman.

Ukhti HELWA yang dirahmati Allah sekalian,

Ketika lembaran ini dicatatkan di skrin komputer riba saya, tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya kerana sudah hampir 3 minggu saya ditaklifkan dengan jawatan Naib Presiden HELWA ini. Gawat sungguh perasaan ini apabila menerima amanah ini walaupun saya sedar saya bukanlah pilihan yang terbaik. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan syura kerana saya percaya barakah Allah SWT ini hadir bersama syura. Saya juga menerima amanah ini dengan jaminan kekuatan rakan –rakan jemaah yang lain dan untuk rekod peribadi saya untuk menjadi manusia yang lebih baik. Nyata Allah SWT punya perancangan dan ujian tersendiri untuk saya,mungkin ini juga jawapan kepada munajat saya kepadanya sewaktu dirisik untuk jawatan ini, pinta saya kepadanya, “Duhai kekasih, andai kiranya aku terima jawatan ini dan ia akan menjadikan aku manusia yang lebih baik di sisimu, maka kau permudahkan urusan jemaahku, namun andai aku tidak layak berada di situ, kau hadirkanlah insan lain yang lebih baik dari aku untuk memimpin ummat ini, sesunguhnya hanya engkau yang maha mengetahui.”

Ukhti sekalian,

Ujian pertama untuk menundukkan altar ego sendiri dengan menerima jawatan ini telah saya tempuhi, hadir ujian kedua yang nyata lebih getir adalah untuk mengukuhkan kembali kerangka keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH setelah ikatan kekeluargaan ini digugat amuk badai yang sedikit sebanyak melukakan perasaan , menghiris dhamir dan menggoyah serta meratah jiwa ukhuwwah yang kian merapuh angkara rasa husnu zan yang menjauh. Saya percaya masih ada emosi yang harus disantuni dan keluhan hati yang memerlukan perhatian kerana keluarga besar ini sudah membesar jalurannya dan kian mencapah sifatnya.
Dalam kita menyantuni hati-hati yang terusik ini, jangan sesekali kita meneladani perbuatan khianat yang hampir merosak ikatan ukhuwwah ini, ya kita bisa berbeza pandangan, tapi kita punya adab kesopanan, ya kita punya pandangan ijtihadiyy, tapi jangan lupa kekuatan ijtihadiyy jamaiyy. Nah, tidak salah kita melontarkan vokal untuk kebaikan ummat, tapi kita harus bersatu “with single heart”. Mungkin ini ujian buat gerakan kita setelah sekian lama kita merasa complacent dengan sosok haraki ini.

Ukhti yang dikasihi seklian,

Gerakan Islam yang matang serta dewasa tidak selamanya hanya berfungsi sebagai kumpulan pendesak semata (pressure group) tetapi harus punya orientasi problem solving, mampu menawarkan formula-formula berkesan untuk menyelesaikan masalah ummat dengan praktis dan pragmatik. Kita harus punya program Islam yang komprehensif sebagai jawapan amali terhadap masalah-masalah masyarakat. Di awal tahun ini sahaja, isu arak, pembuangan bayi dan masalah sosial yang lazim dalam masyarakat termasuk jenayah ragut menunjukkan peningkatan indeks jenayah yang melibatkan ummat Islam. Kita juga dipandu dengan perkembangan politik Negara yang sedikit sebanyak telah mengubah lanskap politik Negara selepas PRU 12 yang lalu. Perkembangan nasional ini punya implikasi tertentu buat kita, lantas peranan kita harus lebih terkesan sebagai partner in nation building, tidak kira dengan partai mana sekalipun kerana prioriti kita adalah kepentingan ummah yang harus didahulukan di sertai dengan kredibiliti jemaah yang menjadi keutamaan.

Ukhti yang dihormati sekalian,

Akhir kalam penutup catatan, bersempena dengan Muktamar yang ke 38 yang lepas berserta dengan kepimpinan yang baru, marilah kita bersama membaharui dan memperteguh keyakinan dan kesetiaan kepada wadah ABIM ini dengan segala ghayah dan wasilah yang telah kita sepakati bersama. Seluruh pendokong wadah ini harus benar-benar memahami erti dan peranan harakah ini agar kita bisa berperanan dan bergerak mengikut nada yang sempurna dan tidak sumbang. Kita bukan rangkaian tabligh dalam erti yang sempit, kita punya madrasah tarbiyyah sendiri, kita bukan sekadar badan kebajikan pengumpul dana mangsa kecelakaan, kita punya tanggungjawab prihatin untuk membudayakan suasana fa’astabiqul khayrat-perlumbaan sihat mengejar kebajikan, kita bukan parti politik pemburu undi, tetapi kita punya jiwa negarawan yang punya cita dan citra untuk menjadikan tanahair ini baladatun toyyibatun, wa rabbun ghaffur, kita juga bukan sekadar badan koperasi ekonomi pengaut laba.Kita adalah harakah islamiyyah pelanjut tugas risalah samawiyyah yang serba lengkap. Kita adalah pendakwah, pentarbiyyah, juru islah, pembela kaum mustad’afin, pejuang ekonomi ummat, kita juga punya peran sebagai tenaga politik non-partisan, kita adalah juara perdamian mejadi faktor pemersatu ummat dan jangan dicabar jiwa pendekar kita kerana kita bisa meraksa hebat menjadi penggempur di medan pertarungan andai ada yang cuba mencabul kedaulatan Islam!

Moga saya tidak keseorangan dalam perjuangan ini, bagi rakan-rakan yang sudah lama berehat, mulakan proses warming up untuk mengembalikan synergy anda, bagi yang sudah bangkit dengan perlahan, tambahakan factor isotonic agar anda lebih cergas, bagi yang semakin laju di lapangan, kekalkan momentum anda dan sekali-sekala ambil peluang untuk memperkasa ilmu dengan tafaqquh fid- deen.

Terima kasih di atas masa dan lintasan mata kalian untuk membaca warkah ini. Moga ada perkara yang dapat dimaanfaatkan bersama. Setiap saat yang kita harungi ini adalah untuk Islam, setiap nafas yang kita hela setelah lelah kepenatan adalah untuk ummat, setiap langkah yang diayun untuk mengisi program masyarakat adalah langkah pejuang nurani ummat. “Coming together is a beginning, staying together is progress and working together is success! Hayya bina! Allahu Akbar!
Sekian, terima kasih.
Wassalam,
Ukhtikum fi l- islam,
Fadhlina Siddiq
Naib Presiden ABIM (HELWA)

on Thursday, August 20, 2009

"ORANG KECIL, ORANG BESAR"


Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil

Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan

Lebih baik jadilah orang besar
Bahagiannya selalu besar

Orangbesar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
zalim-tak zalim dibiarkan

Orang besar bolah bicara semaunya
orang kecil paling jauh dibicarakan saja

Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani

Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar

on Friday, November 26, 2010 at 2:22pm

Puisi petikan oleh Rendra- SAJAK SEORANG TUA DI BAWAH POHON

sebahagian bait puisi petikan oleh Rendra- 

SAJAK SEORANG TUA DI BAWAH POHON-                            menterjemah isu hak asasi kemanusiaan


Aku mendengar orang berkata
"hak asasi manusia tidak sama di mana-mana.
Di sini, demi iklim pembangunan yang baik,
Kemerdekaan politik harus dibatasi.
Mengatasi kemiskinan
meminta pengorbanan sedikit hak asasi."
Astaga, tahi kerbo apa ini!!
Apa disangka kentut bisa mengganti rasa keadilan?
Di negeri ini hak asasi dikurangi
justeru untuk membela yang mampu dan kaya
Buruh , tani, nelayan, wartawan dan mahasiswa
dibikin tak berdaya

O, kepalsuan yang diberhalakan'berapa jauh akan bisa kau lawan kenyataan kehidupan.

on Friday, November 26, 2010