Monday 10 June 2013

Apa anda benar-benar peduli tentang isu Murtad?


Pengalaman mengendalikan kes Murtad bukanlah kebanggan bagi seorang peguam yang beragama Islam. Malah dilema terbesar bagi seorang peguam dalam mengendalikan kes-kes seperti ini adalah isu apakah kita mempunyai undang-undang yang selengkapnya untuk menahan seseorang daripada murtad?Atau kita memilih untuk bersetuju bahawa kebebasan beragama adalah hak mutlak setiap individu sebagaimana kefahaman masing-masing dalam mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.
 
Saya tidak berhasrat untuk membincangkan isu hukum murtad secara tuntas mahupun memberikan reaksi terhadap kenyataan YB Menteri Agama berkaitan statistik orang yang telah murtad di seluruh Malaysia. Cukuplah catatan ini dibaca dan dipertimbangkan dengan penuh kepedulian secara holistik,bukan untuk menunding kesilapan dan kelemahan mana-mana institusi.
 
Seseorang yang berhasrat untuk murtad boleh mengemukakan permohonan bagi pengesahan statusnya samada seliau adalah seorang Islam ataupun tidak di Mahkamah Syariah. Ada beberapa kategori permohonan yang perlu ditanggapi dengan situasi yang berbeza kerana bukan semua permohonan yang dikemukakan adalah permohonan untuk keluar daripada Agama Islam (sila ambil perhatian ya Pak Menteri!).Ada di antara pemohon-pemohon ini asalnya memang seorang Islam, Muallaf atau memang bukan Islam dari asal.Ada juga yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya adalah Islam secara fitrah walaupun dibesarkan di dalam persekitaran keluarga yang bukan Islam. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan status pemohon-pemohon tersebut mengikut kategori yang dinyatakan dan saya tegaskan sekali lagi, bukan semua permohonan yang diluluskan adalah permohonan Murtad.

Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang ketara dalam prosoding kes seperti ini kerana setiap Mahkamah tidak mengamalkan prosedur yang sama. Contohnya di Pahang, kes murtad boleh dipohon secara ex-parte (sebelah pihak) sedangkan di negeri-negeri lain, ia mesti dimulakan dengan Saman dan Penyata Tuntutan.

Cukup setakat itu tentang prosedur, kerana ada aspek fundamental yang lebih penting yang gagal diuruskan oleh semua pihak! Ya, semua pihak..termasuk saya dan anda semua, juga institusi agama dan dakwah di Malaysia. Bagi permohonan untuk keluar Islam, pihak-pihak ini perlu melalui proses istitabah atau rundingcara aqidah dalam beberapa tempoh sehingga Mahakmah benar-benar yakin dan pasti akan komitmen pihak ini terhadap agama Islam. Bukannya mudah bagi Mahkamah untuk mengeluarkan sebuah perintah dengan menyatakan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Islam. Ia mengambil masa bertahun-tahun dan hanya akan disahkan selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Mufti yang mengendalikan proses istitabah tersebut. Oleh yang demikian, tanggapan bahawa Mahkamah syariah begitu mudah memurtadkan seseorang adalah tanggapan yang salah dan saya memilih untuk tidak bersetuju dengan kenyataan YB Menteri Agama yang menggunakan perkataan "meluluskan" permohonan murtad kerana ia mengundang salah tafsiran bagi masyarakat umum yang tidak tahu-menahu langsung prosedur berkaitan kes ini.

Bagi saya, pengalaman setahun jagung mengendalikan permohonan-permohonan sedemikian di Mahkamah Syariah telah benar-benar menduga profil saya yang menganggotai sebuah badan dakwah terbesar di Malaysia. Apa tidaknya, setelah mendalami prosedur, isu-isu, undang-undang, kelemahan dan kekuatan yang ada, nyata kelemahan dakwah kita sangat menyumbang kepada gejala ini. Ketepikan isu menyalahkan gerakan kristianisasi atau hinduisme, kerana nyata kita juga tidak menjalankan tugas sebagai daie dengan baik. Seawal mereka memeluk Islam, mereka hanya diberitahu tentang bila kad islam akan siap atau bila mereka boleh berkahwin tetapi tidak ditanam soal tauhid dan kepentingannya. Malah yang lebih meruntun dhamir saya adalah kerana kegagalan kita menjadi duta akhlaq Ar Rasul SAW!

Tugas dakwah semakin terhad kepada badan dan NGO dakwah sahaja sedangkan ia tanggungjawab asas bagi seorang Muslim. Komitmen tauhid yang longgar menyebabkan kita hampir tidak tahu apa sebenarnya tanggungjawab kita terhadap agama sendiri.Pengalaman bersama teman-teman terpelajar di negeri Selangor semasa sesi memurnikan prosedur Istitabah, Peraturan Muallaf dan menghadiri prosiding di Mahkamah, sudah cukup bagi saya menilai prestasi dakwah dan komitmen umat Islam terhadap isu ini.

Polemik ini akan berterusan,cukuplah dengan momokan yang mengerikan, hadirlah dalam realiti dengan penuh kesedaran.Isu ini memerlukan komitmen dan kepedulian!Lina joy hanya cebisan perjuangan yang ditinggalkan, rantaian masalah yang timbul selepas kes Lina Joy lebih banyak daripada apa yg kita raikan di Mahkamah Persekutuan!

on Wednesday, June 15, 2011

No comments:

Post a Comment